Wednesday 5 March 2014

Petronas nafi rancang kecilkan projek RAPID

Petronas tidak akan mengecilkan kompleks Pembangunan Bersepadu Penapisan dan Petrokimia (RAPID) bernilai RM61 bilion di Pengerang, Johor, walaupun timbul masalah laluan tanah dan cadangan pemindahan perkuburan di kawasan itu, kata Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas.


Beliau berkata, Keputusan Pelaburan Akhir (FID) projek itu mengikut jadual untuk diumumkan pada akhir bulan ini.

"Sebarang keputusan berkaitan projek itu akan dibuat selepas FID diumum pada hujung bulan ini," kata beliau pada taklimat media mengenai prestasi kewangan kumpulan itu yang berakhir pada 31 Dis, 2013 di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Shamsul Azhar berkata, kumpulan itu akan terus mengurangkan pegangannya dalam projek LNG Kanada kepada 50 peratus.

"Ketika ini Petronas sedang berunding dengan bakal pembeli untuk menjual 10 peratus kepentingan dalam projek itu dan ia dijangka selesai tidak lama lagi," kata beliau. - BERNAMA