Thursday 6 March 2014

Shapadu sasar raih RM480 juta tahun ini

Shapadu Corporation Sdn Bhd menyasarkan pendapatan meningkat kepada RM480 juta pada tahun ini daripada RM430 juta yang dicatat pada tahun lalu, disokong terutamanya bahagian minyak dan gas (O&G), hartanah dan lojistik.

Pengarah Eksekutif Kumpulan, Rosthman Ibrahim, berkata operasi berkenaan digerakkan menerusi tiga anak syarikat iaitu Shapadu Marine, Shapadu Energy and Engineering dan Shapadu Properties.

Kami yakin menjelang akhir tahun, syarikat akan memperoleh kontrak bernilai sekurang-kurangnya RM1.3 bilion berikutan kami menjangkakan untuk mendapat lebih banyak lagi kontrak pada suku kedua tahun ini” Rosthman Ibrahim, Pengarah Eksekutif Kumpulan Shapadu Corporation

Hingga kini 85 peratus daripada keuntungan syarikat disumbangkan sektor minyak dan gas yang mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan sejak beberapa tahun lalu.

Dapat banyak kontrak

Rosthman berkata, Shapadu Marine mempunyai kontrak bernilai RM1 bilion sejak 2012 daripada ExxonMobil, PETRONAS Carigali Sdn Bhd dan JJC Corp, syarikat O&G Jepun.

“Kami yakin menjelang akhir tahun, syarikat akan memperoleh kontrak bernilai sekurang-kurangnya RM1.3 bilion berikutan kami menjangkakan untuk mendapat lebih banyak lagi kontrak pada suku kedua tahun ini.

“Bagi mencapai sasaran itu, kami sedang berunding dengan syarikat kumpulan PETRONAS untuk menawarkan perkhidmatan dalam industri O&G,” katanya selepas pelancaran kapal syarikat itu, MV Berkat Tuah dan MV Berkat Tenang, di Pelabuhan Kemaman, Terengganu, semalam.

Yang turut hadir Pengerusi Konsortium Pelabuhan Kemaman, Datuk Musa Muhamad.
MV Berkat Tuah ialah kapal bekalan tunda pengendalian sauh dan MV Berkat Tenang ialah bot penyelenggaraan.

Kedua-dua kapal berkenaan yang digunakan dalam sektor minyak dan gas dibangunkan dengan kos RM100 juta, yang mana RM70 juta daripadanya dibiayai Bank Pembangunan Malaysia Bhd.

Kapal berkenaan akan disewakan sebagai tempat penginapan krew syarikat minyak dan gas yang beroperasi di laut dan syarikat merancang menambah bilangan kapal pada masa depan berikutan perkhidmatan seumpama itu tidak banyak ditawarkan di negara ini.

Yakin capai sasaran

Selain minyak dan gas, Rosthman berkata, syarikat juga yakin mencapai sasaran pendapatan disasarkan kerana ada melaksanakan beberapa pelaburan baru termasuk dalam projek hartanah.

Projek hartanah pertama syarikat di Kertih, Terengganu membabitkan pembinaan 92 unit rumah teres dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM31 juta sudah selesai manakala pembangunan di Putrajaya dijangka dilaksanakan hujung tahun ini.

Mengulas mengenai rancangan tawaran awam permulaan (IPO) syarikat, Rosthman berkata, syarikat menjangkakan proses penyenaraian di papan utama Bursa Malaysia akan dilaksanakan pada akhir suku ketiga tahun ini.