Monday 13 April 2015

Sabah mahu ambil alih cari gali minyak


Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata kerajaan negeri bercadang mengambil alih eksplorasi Marginal Oil Field di Sandakan kerana pendekatan itu menguntungkan dan tidak terlalu bergantung harap kepada pencarian ekuiti semata-mata.

"Bukan saja kami (kerajaan negeri) minta penambahan royalti (minyak) tetapi juga minta Marginal Field di Sandakan yang telah diluluskan oleh Petronas. Kami mahu ambil alihnya," katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Undangan Negeri.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr Jeffrey Kitingan (BN-Bingkor) yang ingin tahu sama ada kerajaan  negeri ada berunding dengan kerajaan pusat untuk mendapatkan bayaran tunai (royalti) ke atas penemuan 16 telaga minyak baharu pada tahun lalu.

Kepada soalan Datuk Johniston Lumai (BN-Kiulu) dan Datuk Au Kam Wah (BN-Elopura) tentang implikasi kejatuhan harga minyak terhadap hasil pendapatan negeri melalui bayaran royalti akan menjejaskan pembangunan negeri, Musa berkata kerajaan negeri mengamalkan perbelanjaan lebih ketat dan berhemah.

Beliau berkata langkah perbelanjaan berhemah itu dilakukan ekoran daripada turun naik harga pasaran  minyak mentah dunia pada tahun lalu yang turut memberi impak kepada kutipan royalti minyak yang diterima kerajaan.

Katanya, sebelum kejatuhan harga minyak, jumlah anggaran kutipan royalti minyak yang akan diterima oleh  kerajaan Sabah bagi tahun 2015 adalah RM1.15 bilion namun berikutan harga minyak dijangka lebih rendah tahun ini, anggaran semakan diperoleh adalah RM788 juta.

"Memandangkan royalti minyak menyumbang kira-kira 20 peratus hingga 23 peratus kepada jumlah hasil kerajaan negeri, (Sabah) akan menerima kesan sekiranya harga minyak kekal rendah," katanya.

Dalam pada itu, Musa berkata langkah pengeluaran bon oleh kerajaan negeri sebanyak RM1 bilion pada penghujung  tahun lepas selain rizab kerajaan negeri yang kukuh, kesan penurunan harga minyak dunia dijangka cuma memberi kesan minimum kepada perbelanjaan pembangunan negeri.

- Bernama